setenang tatapan mata ...

mengocak air, menguak rumput, mencantas dedaunan, meredah liku, memandang lurus ke hadapan, menggenggam hasrat matlamat yang satu ...

Ikhlas

" ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsiaku.Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang amat mengasihiNya."

(riwayat Abu Hassan Al-Basri)

Monday, January 30, 2012

Khadijah al-Khuwailid


Beliau juga dikenali sebagai Ummu al-Qasim binti Khuwailid bin Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qushai bin Kilab, lahir di Umm al-Qura ( Makkah) sekitar 15 tahun sebelum tahun  Gajah. Beliau berketurunan suku Quraisy daripada keluarga Bani Asad.Menurut al-Zubair bin Bakkar, sejak zaman jahiliyah, beliau dikalungkan dengan gelaran al-Tahirah (wanita suci) oleh masyarakat setempat. Ini disebabkan oleh sifatnya yang sukakan kebersihan dan kesucian. Ibunya bernama Fatimah binti Za’idah al-‘Amiriyah.

Sebelum dimahkotakan darjat sebagai Ummu al- Mukminin yang pertama, Khadijah telah beberapa kali menikah. Suami pertamanya ialah Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi. Setelah kematian suami beliau bernikah dengan ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzun. Namun perkahwinan itu tidak kekal. Ramai pembesar Quraisy yang melamar Khadijah namun ditolak kesemuanya selepas itu.
Akhirnya pemuda yang berjaya menambat hatinya ialah Muhammad bin Abdullah yang ketika itu baru berusia 25 tahun. Lebih muda 15 tahun daripada usianya. Hiduplah beliau di sisi Muhammad sebagai tauladan isteri paling solehah sepanjang zaman.

Khadijah merupakan isteri kesayangan Nabi Muhammad SAW . Beliau dimuliakan suami ketika hidup dan sesudah wafat. Pengorbanan beliau sentiasa dikenang  dan menjadi ingatan abadi. Pujian yang sentiasa meniti di bibir Nabi terhadap insan bernama Khadijah r.ha. sehingga mengundang kecemburuan Aisyah r.ha., biarpun pada saat itu Khadijah r,ha. Sudah pun wafat.

Aisyah berkata,
"Saya tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti kecemburuan ku kepada Khadijah kerana Rasulullah sering menyebut-nyebut nama nya….” (Muttafaq ‘alaih)
Aisyah melanjutkan cerita, 
“Jika Rasulullah SAW menyembelih kambing, maka baginda berkata,”Bahagikan kepada teman-teman Khadijah.” 
Saya pernah membuat Rasulullah marah apabila berkata,”Lagi-lagi Khadijah” baginda berkata, “ sesungguhnya saya amat mencintainya” ( Muttafaq ‘alaih)

Khadijah juga melahirkan keturunan bagi nabi. Permata hati mereka seramai 6 orang iaitu dua lelaki dan empat perempuan. Mereka ialah al-Qasim, Abdullah, Fatimah, Ummu Kulthum, Zainab dan Ruqaiyyah. Beliau juga tabah menerima takdir apabila semua puteranya dijemput menghadap Allah ketika masih kecil. Keberkatan nya terserlah  apabila dipilih oleh Allah S.W.T untuk melahirkan penghulu wanita di syurga iaitu Fatimah binti Muhammad.

Realitinya, Rasulullah SAW telah memilih Sayidatina Khadijah yang berumur 40 tahun pada ketika itu sebagai isteri sedangkan umur baginda sendiri adalah 25 tahun. Ini membuktikan jarak usia itu tidak menjadi penghalang terbentuknya kasih sayang yang erat berkekalan selama 25 tahun sehingga perkahwinan itu dipisahkan oleh kematian Khadijah.

Ertinya Rasulullah SAW hidup dengan seorang isteri ( bermonogami) selama 25 tahun. Cinta dan kasih sayangnya terhadap Khadijah tidak boleh dipertikaikan lagi apabila sorotan sejarah mencatatkan pelbagai peristiwa yang membuktikan hakikat itu. Sehingga selepas kematian Khadijah, Rasulullah SAW menduda seketika selama 3 tahun sebelum mengahwini Sawdah, seorang janda yang sudah lanjut usianya dan miskin pula.semua itu atas dasar Rasulullah ingin memberi perlindungan kepada Sawdah daripada ancaman serta kebengisan kaum kafir.Itu juga sebagai kerelaannya memeluk agama islam.

Antara keutamaan Khadijah

Antara keutamaan Khadijah yang tidak dimiliki oleh isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain-lain ialah:
1.     Sebagai isteri pertama Nabi SAW kekasih pertama di hati Nabi
2.    Rasulullah SAW tidak menikahi wanita lain selama dengan Khadijah r.h.a. masih hidup.Aisyah r.ha berkata “Selama hidup  bersama-sama khadijah, Nabi SAW tidak menikahi wanita lain sampai Khadijah meninggal dunia.”(Riwayat Muslim no.2436)
3.    Rasulullah SAW tidak  mengambil hamba wanita sehinggalah Khadijah r.ha meninggal dunia
4.    Isteri yang mampu memberikan keturunan kepada Rasulullah
5.    Rasulullah SAW tidak pernah berasa marah kepada isteri ketika hanya mempunyai seorang sahaja isteri iaitu Khadijah. Hanya setelah mempunyai ramai isteri, karenah para isteri kadang-kadang membuat baginda marah. Marah-marah sayang penuh hikmah.
6.    Insan pertama solat bersama-sama Nabi
7.    Wanita pertama antara isteri-isteri Nabi yang mendapat jaminan syurga.
8.    Orang pertama menerima salam daripada Allah
9.    Wanita pertama masuk dalam kategori Siddiq (yang benar)
10. Orang pertama yang kuburnya dipersiapkan oleh Nabi SAW

No comments:

Post a Comment

seuntai rasa, sejernih bicara

Assalamualaikum wbt,

blog "The Last Heaven" ini adalah blog peribadi yang membawa secebis rasa, berkongsi keindahan, keharmonian dan ketenangan yang sekelumit cuma. Segala paparan adalah segaris idea, ilham, coretan peribadi dan koleksi informasi dari pelbagai sumber.

Maafkan "The Last Heaven" sekiranya ianya tidak memberi bahagia seperti syurga yang diimpikan ..

Indahnya untaian taste by :

taliti tulip