CERPEN: SEHARUM KASIH SEBUAH
KELAHIRAN
Sesuatu yang hebat tidak selalu diberi kesempatan walaupun
peluang berada di hadapan mata.Ianya hanya untuk yang menghargai. Serpihan
bunga-bunga harapan terlontar di pelantar rasa.Hilang carik berlantai papan
yang reput di mamah mentari dan diresap basah dek hujan. Pun begitu segalanya masih belum
bernoktah untuk terus memahat harapan.
Seiring waktu itulah aku kini sudah seminggu berada dalam dunia yang serba asing. Aku yang
hanya mahu dikenali sebagai “nutfah”.Tidak dapat hendak digambarkan bagaimana
dunia yang serba asing ini. Dipenuhi dengan bendalir menyeliputi segenap
dinding. Pada saat tiada sesiapa pun hanya sepi yang bersemi.
Demikianlah
setelah tujuh hari aku mula membentuk seketul darah yang dipanggil “alaqah”.
Bertaut pada dinding yang gelap gelita. Sedangkan saizku hanya dua milimeter
dan beransur membesar sehingga enam milimeter di saat usiaku menginjak empat
minggu. Oh,alangkah cepatnya perubahanku dan pada saat inilah aku bertukar
menjadi “mudghah” iaitu seketul daging.
Lantas pada kalimah “ Lalu kami ciptakan darah beku itu
menjadi seketul daging”dari surah al-Mukminun membuat aku mengenal pencipta ku.
Hanya dialah yang aku kenal di awal kejadian ku ini. Dunia indah ikatan
kesaksian antara makhluk dan penciptanya. Begitulah sehingga menjengah usia
lima minggu, tubuhku mengalami satu proses yang membentuk tiga lapisan iatu
lapisan pertama ektoderma yang berfungsi membentuk sistem saraf, otak, tulang
belakang, kulit serta rambut. Lapisan ke dua pula dinamakan mosoderma yang
berfungsi membentuk jantung, buah pinggang, tulang dan organ-organ reproduktif.
Akhir sekali ialah lapisan paling dalam” endoderma” yang membentuk organ
dalaman seperti usus, hati , pankreas dan pundi kencing.
Beginilah proses kejadianku menghitung hari dan ianya jua
satu peluang dan harapan untukku terus melangkah. Ternyata pada usia ku lapan
minggu berlaku pembentukan lubang hidung, bibir, mulut dan lidah. Segala yang
ku lalui ini sedikit pun tidak memberi aku kepayahan atau kesakitan. Ianya amat tenang dan damai kerana
maha suci tuhanku telah menciptakan aku seperti di dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang
bercampur dan Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan)kerana itu
kami jadikan ia mendengar dan melihat”
Pada saat jari jemariku mampu digerakkan dari tahap kekuatan
tanpa sedar aku memanjat kesyukuran padaNya. Ah, tidak sabar pula aku rasakan.
Lebih lebih lagi tanpa siapa tahu diusiaku mulai lima belas minggu aku sudah
mampu mengenggam jemari dan menghisap ibu jari dan pada usia enam belas minggu
pula aku dianugerahkan nikmat pendengaran. Aku dapat mendengar kocakan cecair
sedang tubuhku beralun-alun. Suatu tempat yang aku difahamkan ialah rahim. Ya..
Rahim yang bermaksud kasih sayang. Kasih sayang yang berputik dan mendesah dari
sudut yang paling dalam.
Hari ini, buat pertama kalinya aku mendengar tangisan dan
esakan seseorang dari dinding rahim. Tangisan itu menghantar getaran syahdu
dalam jiwa. Aku tidak pasti mengapa suara itu hadir yang pasti aku merasakan
akar kasih mulai tumbuh dari tanah sukmaku seperti meronta-ronta mahu mengenali
pemilik suara itu kerana ia meresap menyatu dalam naluriku. Entah mengapa keluh
kesahnya sering bergema dan menyelinap ke corong telingaku. Aduhai! saat saat
usapan dari dinding rahim bersatu dengan lirih suara yang lemak merdu itu lalu
terluncur kata”sayang anakku, permata hati mama”aku terpegun mendengar rintih
pilunya dan aku mulai yakin dialah pemilik suara itu dan pemilik rahim ini yang
sedang ku huni. Betapa rindunya aku pada suara itu.
Hari ini, genaplah usiaku tiga puluh dua minggu. Aku tidak
selesa lagi untuk mendiami kelongsong Rahim yang semakin sempit dek tubuhku
yang semakin membesar serta mengawal pergerakan ini. Satu Kuasa yang aneh
semakin kuat mencengkam dan menolakku kelohong yang hitam dan sempit. Cecair
pekat mulai membuak dan pecah. Getaran dan tindak balas semakin meledak hingga
membuat wajah ku terbenam ke dasar lohong. Aku terpaksa mengumpul kekuatan
untuk menolak keluar dari kelonsong yang serba sempit ini.Namun aku tak berdaya
walaupun seluruh kekuatan telah kukumpul.Saat ini juga aku turut merasakan
pemilik rahim ini sedang berjuang menghela nafas yang panjang dalam satu detik
yang cemas diambang sebuah kematian.seluruh kekuatan yang pasrah memanggil nama
tuhan namun ketentuannya tidak siapa dapat menduga.Aku dan pemilik rahim ini
umpama satu jasad dua roh yang bercantum, bersama mengharung detik terakhir
dihujung nyawa.
Sebuah kehidupan mesti diteruskan dan dengan bantuan sekumpulan
pakar perubatan telah berusaha seluruh tenaga menyelamatkan aku dan pemilik
rahim ini.Lapan jam telah berlalu akhirnya aku berupaya melihat satu cahaya
yang menerobos terus ke mataku dan aku meraung sekuat hati.nafasku terasa sesak
dan aku cuba menghirup udara dan seketika aku mendengar laungan kalimah
azan.Begitu syahdu dan membenam jauh kedasar hatiku membuat tangisan ku reda.
Akhirnya Kesepian dan perjalanan ku selama sepuluh bulan ini jadi terubat bila
aku kini berada dalam dakapan dan pelukan pemilik rahim yang kuhuni selama ini
yang juga merupakan seorang ibu buatku. Ohh…. mataku mulai berkaca. Rupanya
disinilah dunia yang membahagiakan ku. Di sinilah aku mencicip seharum kasih
dari RAHMAT dan RAHIM mu yang tak putus-putus.
Walaupun sayup-sayup kuterdengar suara doktor memberitahu ibuku
bahawa aku mengalami masalah sindrom down iaitu suatu penyakit berpunca dari
kecelaruan genetik yang wujud apabila berlaku kelebihan kromosom 21 di dalam
setiap sel badan.Namun dalam esak tangisnya kuselami ada lantunan kasih penuh
kebahagiaan dari jiwa nan murnimu ibu.aku memanjat kesyukuran kepada tuhan yang
telah merencanakan hakikat sebuah penciptaanku ini Semoga ibuku diberi kekuatan
dalam membesarkanku.Alhamdulillah segala puji bagi Allah.
UNTAIAN TASTE BY:
taliti tulip
No comments:
Post a Comment