setenang tatapan mata ...

mengocak air, menguak rumput, mencantas dedaunan, meredah liku, memandang lurus ke hadapan, menggenggam hasrat matlamat yang satu ...

Ikhlas

" ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsiaku.Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang amat mengasihiNya."

(riwayat Abu Hassan Al-Basri)

Wednesday, August 29, 2012

Senja berlabuh....(iii)


Tidakkah kesepian itu mengundang kesedihan buat Aqsa kesekian kali.Seakan senja bergabung menggambarkan situasi dan aplikasi yang serupa lalu menghasilkan antonasi yang penuh imaginasi.Bulan makin meninggi dihujung pucuk dedaunan kelapa dan meninggalkan rerumput yang semakin hilang seri cahayanya.
Resap dingin mulai menggigit tubuh, Aqsa berpaling mengangkat wajah dan kelam laut yang semakin lewat menggamet hatinya untuk pulang.

"Kamu dari mana Aqsa?"penuh mesra dan sopan suara itu menyapanya. Suara yang tidak jemu-jemu hadir setiap kali bila Aqsa memerlukan.
"Melihat ombak,merenung langit dan berkongsi keriangan bersama anak-anak ikan."tanpa riaksi dan perasaan aqsa melantun jawapan membuatkan seorang perempuan separuh umur itu terdiam.
Walaupun Aqsa tahu bukan itu jawapan yang sepatutnya dia berikan.Namun biarlah kali ini dia jujur pada diri sendiri .

Ada redah mengutip alpa
ada soal dalam mangu
bila senyum menanti
menyimpul jawapan
merungkai soal
 dalam redha

Aqsa tidak menunggu lama, dia perlu segera membersihkan diri dan menyalin pakaian.Ada kewajipan yang perlu dilaksanakan pada yang maha Agung.


bersambung....

untaian taste by:
taliti tulip

Monday, August 27, 2012

Senja berlabuh...(ii)


Debur ombak beriak-riak menampar tiang jeti dengan beralun-alun. Jernih airnya keemasan dek pantulan cahaya bulan penuh. Tidak sekelumit pun dikasari angin kencang dan ketenangan menyusup dalam kesuraman malam. Seperti selalu sengaja ia memilih untuk menghabisi masa di jeti tua bersatu dalam denyut nafas samudera dan langit yang luas.Di jeti tua itulah juga sering ia meluahkan gelodak rasa dan menghabiskan masa memancing seekor dua Jelawat. Ombak beriak-riak lagi dan berkocak dek seekor dua anak belanak yang melompat berkejaran di permukaan air.Dia tersenyum tumpang bahagia menikmati keriangan itu.
"Apakah kau bahagia tinggal di kampung terpencil ini, Aqsa?"
Aqsa merenung jauh ke tengah laut, mengutip kenangan dari serpihan kehidupan lalunya untuk memberikan jawapan.
"Mujurlah, aku diberi kesempatan yang terakhir."
"Kenapa ?"
"Kerana sebelum ini aku tidak pernah menyangka diberi kehidupan setenang ini, iaitu di daerah yang terpencil ini."
Aqsa merenung jauh lagi ke tengah laut. Buih-buih ombak beralun-alun terayak-ayak seakan mutiara jernih yang mengasyikkan apabila disimbahi cahaya bulan.Ruang disambar kesepian apabila pertanyaan itu hilang dari kenangan. Itulah pertanyaan yang bertandang dari bicara Fateh sahabatnya suatu ketika dahulu.

Bila sepi bertamu...........
bersila di hamparan samudera
serangkap kata meneguk kenangan
mengundang mimpi semalam
keriangan belanak dan jelawat
memecah sunyi
berkali-kali.


bersambung next time....


untaian taste by:
taliti tulip

Friday, August 24, 2012

senja berlabuh.........(i)



Tidak sampai tangan ini untuk menggapai awan dan bererti tidak tersentuh bumi ini dicecah jejak semalam.Di awang-awangan beriak beralun melentok selari bersama hembusan bayu yang pasrah.Ada senyum dalam hiba merintih membasah tidak tertahan dan ada pilu dalam tawa merobek meratah tidak kesampaian.Sekadar melihat dipinggiran buat sesiapa pun pastilah biasa biasa sahaja.Ianya tidak mengundang petanda memporak peranda dan mengacau bilau.Ada mata meleret merenung dikejauhan , tidak berniat untuk hampir mendekati sebagai menghormati dan mungkin jua belum bersedia untuk berkongsi rasa.Menikmati secangkir kisah silam dan mencicip suka duka saki baki usia yang tersisa.Mahu apakah dia memerhati kalau niat belum jelas dan maksud belum terlerai.Senyum seindahnya terukir dibibir ikhlas melirik di perjalanan hidup siang dan malam.Ibarat kepulan awan biru yang bergerak dan riak ombak mencium pasir pantai yang putih bersih.Sesiapa pun bisa menyaksikan dengan santai berteman irama lagu simfoni kasih yang harmoni.Kelam malam dan riang siang bersujud di kaki senja yang berlabuh di muara kehidupan.Lalu sang pelangi pudar sebaris demi baris meleraikan warnanya dan gunung-ganang bergabung menjadi biru semakin pekat dan gelap.Seri bulan bersilih menyentuh permukaan rumput dan dedaunan lalu cahayanya menyimbah bumi.

Senja membisik irama…..
Desah angin menggetar rasa
Belum serasi antara lagu dan irama
Ada hati yang terhenti menyapa


Dedaun pohon kelapa
Terus menanti menyusup hasrat
Bukan sedikit kesetiaan yang terarah
Paling sengsara
Bahagia dalam ceritera
Menyisip ke hujung nyawa
Di dada pelangi .


bersambung next time.......


untaian taste :
             by taliti tulip

Sajak:melarik kasih



Semakin detik bersilih
semakin masa kian letih
semakin terasa hati ini jernih
semakin rindu mekar merintih
semakin harum sayang memutih
semakin cinta bersemi bersih
semakin larut hati bersedih
semakin kuat diuji kasih

Semakin jelas jiwa merisik
semakin cinta tidak terusik
semakin mekar walau dicarik
semakin nafas pantas berdetik
semakin nyawa menjadi titik
semakin itulah setia berbisik


untaian taste : taliti tulip
                                       1.44 am...24/8/2012

Sunday, August 12, 2012

Perkongsian untuk apa yang dikatakan ciri-ciri isteri solehah





Di sini ingin kutitipkan bingkisan yang amat bermakna sebagai perkongsian,renungan, dan amalan.Ianya adalah antara koleksi peribadi yang telah tersimpan sekian lama, walau tidaklah selengkap mana tetapi ianya menjadi pilihanku kerana bukunya yang kecil,nipis (mudah dihabiskan bila dibaca),ilmu yang tertulis di dalamnya menepati untuk diri sendiri serta mudah di bawa kemana-mana.Buku ini juga telah kubeli pada 6hb Disember 1992 bererti telah 20 tahun dalam simpananku.

Buku ini bertajuk, WANITA ISLAM beberapa nasihat dan peringatan karya Hamizan Hussin terbitan Dewan Pustaka Fajar cetakan 1988 setebal 66 mukasurat.



Apakah yang dikatakan wanita solehah?

Wanita yang solehah ialah wanita yang berpendidikan baik dan berakhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wa Ta’ala.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Dunia ini adalah kesenangan dan sebaik-baik kesenangan ialah wanita yang solehah”
(Riwayat Muslim dan Al-Nasae’I )


Sebagaimana diketahui, peranan wanita yang asasi ialah sememangnya sesuai dengan sifat dan tabiatnya sebagai isteri dan mendidik 

CIRI-CIRI ISTERI SOLEHAH


1.Hendaklah sentiasa jujur dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap suaminya dalam sebarang hal yang diizinkan oleh syara’
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Seandainya diperbolehkan bagi manusia untuk sujud kepada manusia lain, nescaya aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya.”
(Riwayat al- Hakim)


2. Seorang isteri hendaklah berkelakuan sopan terhadap suaminya.Wajib baginya menjauhkan kata-kata yang menunjukkan kederhakaan atau menyakitkan hati suami seperti memaki, berkata tanpa izin atau melafazkan kata-kata yang dilarang oleh syara’.Begitu juga hendaklah isteri itu sentiasa berasa malu dan merendahkan pandangan matanya apabila berada dihadapan suaminya.Hendaklah sentiasa memperlihatkan wajah yang manis dengan demikian akan dapat menyenangkan hati suaminya.


3. Janganlah seorang isteri itu memberatkan atau memaksa suami memberi nafkah seperti makanan,pakaian,wang ringgit dan tempat tinggal lebih dari kadar yang diperlukan.Bahkan hendaklah sentiasa qanaah (berpada-pada) dengan apa jua pemberian suaminya.


4. Bertanggung jawab memelihara harta benda suaminya dan berusaha menjadikan rumah tangganya bersih, kemas dan rapi yang mana di dalamnya turun rahmat Allah s.w.t


5. Hendaklah keluar rumah atau keperluan lain dengan izin suami.Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tiap-tiap wanita yang keluar rumah tanpa izin suaminya,sesungguhnya dia dalam kemurkaan Allah sehinggalah ia kembali ke rumahnya atau suaminya redha akan dia.”
(Riwayat Al-Khatib)


6. Apabila terlanjur seorang isteri hendaklah segera meminta maaf kepada suaminya.Tidak ada manusia yang sunyi dari melakukan kesilapan.Begitulah juga dengan isteri yang bersifat lemah dan memerlukan bimbingan suami.
Kita boleh lihat contoh isteri solehah dari kisah sayyidatina Fatimah terhadap suaminya dan begitu juga dengan ibunya sayyidatina Khadijah dalam melayani suaminya Rasulullah s.a.w.
 Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada puterinya yang bermaksud:
“Untuk mencapai kesenangan akhirat,Fatimah seharusnya menelan kepahitan hidup di dunia ini.”


7. Seorang isteri itu bukan sahaja tugasnya sebagai isteri kepada suaminya, ia juga memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak.Ia mengandung, melahirkan, mengasuh,memelihara serta mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang agar menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat.Gagal atau Berjaya seorang anak itu dalam menjalani kehidupan adalah bergantung kepada asuhan dan didikan ibu bapanya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Tidak ada seorang yang lahir melainkan menurut fitrahnya, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan Yahudi,Nasrani atau Majusi.”
(riwayat Bukhari dan Muslim)


Demikian lah sebahagian dari ilmu yang terdapat di dalam buku ini secara ringkasnya.Kesimpulannya seorang wanita apabila dia telah bersedia sebagai isteri bererti dia mempersilakan seorang lelaki duduk disampingnya untuk sepanjang hayat.Sekaligus dia mempersilakan semua masalah baik atau buruk bersandar di bahunya dan dalam masa yang sama ingatlah bahawa pasangan kita adalah dahan pahala jika kita sabar mendampinginya.


Sebagai wanita juga janganlah kita merasakan ketaatan kita kepada suami itu tidak adil kerana kemuliaan Allah terhadap wanita dapat kita lihat dalam dua situasi iaitu pertama wanita itu dikehendaki taat kepada suaminya lebih daripada kepada ibu bapanya.dan dalam masa yang sama dalam situasi kedua sebagai imbalan Allah memerintahkan anak lelakinya pula berbuat ihsan kepadanya 3  kali ganda daripada ia berbuat ihsan kepada bapanya iaitu suami kepada wanita tersebut.


Ini berdasarkan kepada satu kisah seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w maksudnya:
“Siapakah yang wajib kita hormati dan kasihi selepas Allah s.w.t dan Nabi?jawab nabi Ibu kamu, Selepas itu? Ibu kamu,Selepas itu? Ibu kamu dan kali keempat lelaki itu bertanya Selepas itu? Jawab nabi, bapa kamu.”
Dan Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
“Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu.”
(riwayat imam Ahmad)

SAJAK:



  
SEORANG PEREMPUAN

Sebuah kurniaan
Kemuliaannya dipersada rasa
Dicipta di atas kudratNYA
Demikiannya pemberianMU
Menepati fitrah sebuah anugerah
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Lalu digubah dengan seindah kejadian


Diantara lebur jiwa nan rapuhnya
Luhur kejernihan mata hati
Ada Senyuman melingkari hari
Ketulusan dalam ketaatan
Penuh kesantunan bicara
Sebenarnya……………………
Itulah rahsia maha agung
Dimana ia terletaknya syurga
Di telapak kaki seorang ibu


Begitulah seorang perempuan
Menjadi perhiasan dunia yang terindah
Meskipun hakikat kejadiannya
Sekadar si tulang bengkok
Perasaan mengatasi panjangnya akal

Untaian taste by: taliti tulip


ia....memang benar perempuan itu dicipta dari tulang rusuk yang bengkok tetapi bengkoknya itu bukan bermakna suatu kekurangan tapi sebenarnya ia adalah penyempurnaan.Tulang rusuk yang bengkok itu tadi sifatnya adalah pelindung. Melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung dan paru.



Demikianlah sebagai perkongsian kita bersama..segala kelemahan dan kekurangan adalah dari diri saya sendiri dan kelebihan dan kebaikan itu dari Allah jua.
Allahu  a'lam


Keistimewaan Betik




Buah Betik

Betik atau Papaya memang amat dikenali sebagai pencuci mulut.Betik atau nama saintifiknya Carica Papaya dikatakan berasal dari Mexico Selatan, namun kini ia terdapat di kebanyakan Negara Asean dan ditanam hampir keseluruh Negara yang beriklim tropika



Pokok Betik

Betik sebenarnya sangat istimewa dan mempunyai banyak khasiat.Harganya tidak mahal dan sangat bermanfaat untuk kesihatan serta bagus untuk pencernaan serta mengandungi banyak vitamin serta mengandungi unsur-unsur antibiotic yang dapat digunakan untuk pengubatan tanpa kesan sampingan.



Koktel Betik


Betik kaya dengan vitamin dan zat galian yang baik untuk kesihatan seperti protein lemak.kabohidrat,serat,kalsium,vitamin A, vitamin C,vitamin  B kompleks, vitamin E, zat besi dan lain-lain.Betik eksotika misalnya dikatakan mengandungi vitamin A yang 10 kali ganda berbanding limau mandarin.



Salad betik

Nutrien penting dalam betik menjadikan tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan yang tersendiri.Buahnya mengandungi kalium dan magnesium yang tinggi dan bermanfaat sebagai ubat  usus luka, bahan pelawas serta penyejukan suhu badan yang panas ketika demam



Sayur bening betik


Manakala daunnya pula selain digunakan sebagai ulam dan sayuran, ia juga dikatakan boleh dijadikan ubat penyakit malaria,sakit perut dan kurang nafsu makan. Bunga betik pula dijadikan manisan dan daunnya yang muda (pucuk) dijadikan ulaman .Selain dikatakan berupaya menyerap racun dan bahan toksik serta mempercepatkan penyembuhan luka.Ia dikatakan berupaya untuk melembutkan daging, mengubat penyakit asma dan sakit jantung tetapi tidak boleh digunakan secara berlebihan kerana ia boleh menghasilkan toksik.



Pucuk betik yang direbus

Betik mengandungi ekstrak  papain iaitu enzim proteolotik yang terdapat dalam getahnya(betik muda). Papain memberi manfaat dalam industri minuman, makanan dan ubat-ubatan,pengempuk daging, dijadikan ramuan ubat penyembuh pencernaan dan banyak lagi.

Wednesday, August 8, 2012

SELASIH,BASIL DAN KEMANGI TIGA NAMA YANG PENUH MAKNA



Pokok Selasih,Basil dan Kemangi


Di negara Malaysia ia dikenali dengan nama Selasih.Di Indonesia ia disebut daun Kemangi dan di Barat ia dinamakan Basil.Apa pun Selasih, Kemangi dan Basil berasal dari rumpun yang sama, iaitu Lamiaceace.

Nama saintifik Selasih ialah Ocimum sancium,bagi kemangi pula ialah Ocimum sanctum linn manakala bagi Basil di beri nama Ocimum amboinicus.
Selasih,Kemangi dan Basil kaya dengan khasiat provitamin A.Setiap 100gm daunnya terkandung 5.000 SI vitamin A.Selain itu. Ia juga mengandungi kalsium dan fosfor.

Di barat, basil digunakan dalam sos spaghetti dan sos pizza.Di Negara kita, kebanyakan orang gemar mengambil selasih sebagai ulam, manakala bagi sebahagian masyarakat bugis menjadikannya sebagai sabagai bahan dalam masakan sayur bening yang dicampur dengan bayam,terung dan kacang panjang.Manakala di Indonesia penggunaan kemangi juga amat meluas dalam masakan, antaranya dalam nasi ulam, pais ikan, laksa bogor dan karedok(gado-gado sunda)

Di India dan sebahagian wilayah Afrika, selasih atau kemangi ini dijadikan teh kerana aromanya yang wangi.Ia dikatakan baik diminum bagi mereka yang diserang batuk, selsema atau demam.

Di Eropah,selain dijadikan campuran di dalam masakan,basil juga disuling dan diambil minyaknya.Ia digunakan sebagai campuran bahan ubat-ubatan atau pun untuk dijadikan sabun mandi,minyak wangi,losyen badan,gula-gula herba dan juga minyak terapi.

Kemangi,basil dan selasih kaya dengan khasiat pro vitamin A.Setiap 100 gm daunnya terkandung 5.000 SI vitamin A.Selain itu ia juga mengandungi kalsium dan fosfor.

Basil dikatakan berasal dari India dan Peranchis dan kemudian ia ditanam dimerata tempat di dunia.Pada zaman Greek,basil dikatakan menjadi tumbuhan herba diraja dan hanya golongan raja sahaja yang boleh memetik daunnya.Manakala di Romania, Basil mempunyai makna tersendiri dalam dunia percintaaan.Lelaki Romanis yanag menerimaa setangkai basil daripada seorang wanita,bermakna secara rasmi mereka telah ditunangkan.

Selain berfungsi sebagai bahan masakan,basil,kemangi dan selasih juga mempunyai khasiat tersendiri dalam dunia perubatan.Secara turun temurun,pokok beraroma ini bermanfaat untuk mengatasi kembung perut ataupun perut yang masuk angin untuk kanak-kanak.Jika anak anda menderita kembung perut atau demam,ramaskan daun selasih,dan campurkan sedikit minyak kelapa dan bawang merah yang ditumbuk dibahagian dada dan perut.

Daun selasih,kemangi dan juga basil sama seperti daun pudina.Menghasilkan bau yang wangi.Bau wangi pada daun itu boleh menghilangkan masalah bau badan dan mulut.Maka tidak hairanlah jika pokok ini diambil minyak sarinya untuk  dijadikan minyak wangi.Ada pendapat mengatakan minyak sari yang diambil daripada daun kemangi,basil dan selasih hanya akan hilang baunya  setelah 3 hari disapukan pada badan.Selain dijadikan minyak wangi,minyak pokok ini dijadikan minyak urut terapi kerana ia dapat memberikan kesegaran kepada tubuh. Bagaimana pun wanita hamil dilarang menggunakaannya kerana dikhuatiri akan mengalami keguguran.


Selain itu, minyak kemangi,juga berkhasiat mengatasi gangguan seperti muntah-muntah dan radang perut.Bagi kaum lelaki,Kemangi,basil dan selasih juga memberi manfaat yang tinggi.Zat arginine yang terkandung dalam kemangi boleh memperkuatkan daya hidup sperma .Bagi kaum wanita pula zat daun ini dapat meransangkan hormon estrogen.Zat stigmaasterol dalam kemangi pula dapat meransangkan permantangan sel telur, manakala zat triptofan boleh melambatkan monopaus.


Selasih,basil dan kemangi ternyata bukanlah sebarang sayuran,dan nikmatilah khasiatnya  


untaian taste by : taliti tulip

seuntai rasa, sejernih bicara

Assalamualaikum wbt,

blog "The Last Heaven" ini adalah blog peribadi yang membawa secebis rasa, berkongsi keindahan, keharmonian dan ketenangan yang sekelumit cuma. Segala paparan adalah segaris idea, ilham, coretan peribadi dan koleksi informasi dari pelbagai sumber.

Maafkan "The Last Heaven" sekiranya ianya tidak memberi bahagia seperti syurga yang diimpikan ..

Indahnya untaian taste by :

taliti tulip