setenang tatapan mata ...

mengocak air, menguak rumput, mencantas dedaunan, meredah liku, memandang lurus ke hadapan, menggenggam hasrat matlamat yang satu ...

Ikhlas

" ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsiaku.Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang amat mengasihiNya."

(riwayat Abu Hassan Al-Basri)

Friday, June 15, 2012

ulang tahun hari lahirku....


Ingin aku bersantai di sini, bermonolog berkongsi rasa yang tidak seberapa. Ku kutip kenangan yang indah dalam selaut ketenangan, kebahagiaan,keterisian, harapan, keramahan dan kepayahan. Bicara yang tidak cukup-cukup bereratan bagaikan bersaudara. Menyimpul senyum paling mekar dalam hangat meniti detik waktu….pada lewat ulang tahun hari lahirku tanggal 13 jun.
Tiada yang lebih indah bila menginjak usia yang semakin ranum, matang dan tua(…hehehe).Dan tiada yang lebih bererti bila menerima ucapan dari orang yang amat dikasihi.Dan tiada yang lebih bahagia bila dikasihi dan diingati. Dalam senyum aku hanya mampu membalas terima kasih kembali.

Maka…
Berdirilah aku di sini
Bertanya pada lantai
Berpaut pada dinding
Dalam jasad yang terperosok

Mungkir……Hati yang berfikir
Lupa………..Lisan yang berkata
Sesat……….Mata yang mengibarat
Kelam………Siang dan malam

Sungguh-sungguh…
Aku ingin berdiri kembali
Menerima hadiah terakhirku
Sebuah perpisahan.

Sebuah Renungah : Sabda Rasulullah saw,
" Cukuplah mati sebagai perpisahan .. "

Untaian taste by:
Taliti tulip

Sunday, June 10, 2012

Alamku Berbicara..

Bila bulan bertanya
Laut berhenti bergelora
Angin redup seketika
Bintang pun diam bersila
Lalu timur dan barat
Erat bergenggaman
Di dada samudera

Pepohonan saling bertatapan
Sungai berbalas senyuman
Muara mengusik rasa bahagia
Selat berkocak damai
menggamit erti kerinduan
terpamer satu kemesraan

ceria pelangi yang berwarna
sirna mentari nan indah
begitulah  jalur alam menyusur
mereka saling berbicara
mensyukuri anugerah illahi.


untaian taste:
             taliti tulip

Tuesday, March 13, 2012

hakikat


Bertemu sahabat
Tak sempat berjabat
Kemesraan jadi tersekat
Ucapan pun terlambat
Hati kian berat
            Bertaut firasat
            Hidup ibarat tiada penamat
            Jadual harian penuh sarat
            Sehari bagai sesaat
            Bisa ada yang tersesat
            Berbeza matlamat
            Segalanya sekadar niat
            Masa begitu cepat
Bertemu sahabat
Tak sempat berjabat
Bergegas takut terlewat
Usahkan hendak melawat
Lupa nama lupa alamat
Sendiri pun tidak terawat
Makan minum ikut sempat
Pulang ke rumah hanya syarat
Demikian hari usia pun memanjat
Tak sempat  Munajat
Tak sempat  Taubat

Untaian taste
taliti tulip,

tamsil cintaku


Mengepal kenangan cinta
Dan kenangan itu mengental
Ianya kekal
Di hati dan di akal
Dalam hayat yang  sejengkal
Bening indah menebal
Sejak awal
Tulus ikhlas tidak kesal
Galur rintih rindu sebal
Berkocak bergesel
Berpusar lara ajal
Cinta tetap kekal
Biarpun Bisik batin berpenggal
Setia damai bersimpul
Dalam Ucap kenal
Seerat hati  resap memanggil
Dalam lena warna kasih tawakal
Cinta tetap kekal
Cinta tetap kental
Cinta tetap mahal


Untaian taste by:
Taliti tulip

Thursday, March 1, 2012

sajak : Redha lah diri ..........



Teramat indah bila dicintai
Tetapi lebih indah jika kita yang mencintai
Teramat sakit bila dilukai
Tetapi lebih sakit jika kita yang melukai
Teramat bahagia bila dikasihi
Tetapi lebih bahagia jika kita yang mengasihi
Teramat berharga sebuah pertemuan
Tetapi lebih mahal  sebuah perpisahan
Teramat Sukar untuk melupakan
Tetapi Lebih sukar jika diteruskan
Teramat suci ikatan perkahwinan
Tetapi lebih mulia sebuah akad
Teramat kukuh  ikatan suami isteri
Tetapi lebih utuh tali persahabatan
Kerana………………
Segala yang terpendam tidak semestinya diluahkan
Yang terbuku tidak bererti perlu dilafazkan
Yang tersirat tidak bermakna perlu dileraikan
Senyumlah…………..
Kerana hidup ini tidak sesukar yang digambarkan
Rahmat tuhan sentiasa mendahului kemurkaannya.

untaian taste by,
taliti tulip

Sunday, February 12, 2012

sambungan eNovel part 3


Redup hari menandakan hujan akan turun bila-bila  masa sahaja.
Hanum bergegas mengatur langkah laju-laju ,
dia kena pastikan sampai ke hentian bas sebelum
 hujan turun.kalau tidak tentulah dia akan basah.

Alangkah indahnya..dikala hujan turun..dilangit yang kelam, 
sesekali  bercahaya disimbahi garis kilat dan dentuman guruh..
angin deras bertiup dan dedaunan berombak-ombak…
semakin dingin dan sejuk.

Hanum terbuai dek fitrah alam. 
Bagaimana lagi itulah sentuhan nalurinya..bila berbahasa dalam ilusi.
Tidak  siapa pun dapat mendengarnya. Hanya hatinya yang berseloka.
Lantunan air hujan mula mencecah bumi lalu resap dan bertakung di 
dalam longkang. Hanum terpaksa duduk diam di bawah bumbung 
hentian bas itu.Bersamanya ada dua  orang lelaki dan 
seorang perempuan  muda sepertinya.

Sesekali dia mengerling kepada jam di tangan.mujurlah masa masih panjang.
Hanum berkira-kira dalam hati, andai satu  jam lagi kalau hujan
 tidak reda bererti dia terpaksa meredah juga untuk segera 
sampai ke tempat kerja. Hanum meraup wajahnya yang basah 
dek tempias hujan seakan menghimpun seluruh kekuatan dalamannya 
untuk menempuh hari-hari seterusnya. Sudah empat tahun dia bekerja 
di kedai buku tersebut dan selama itulah dia semakin serasi dengan pekerjaan itu.
Mempunyai majikan yang bertimbang rasa dan mengambil berat 
kebajikan pekerja dan semestinyalah dalam situasi seperti 
sekarang kalau terlewat pun pasti ada budi bicara.

“cik, boleh saya bertanya…?” 

sedari tadi Hanum merenung curahan hujan tiba-tiba dia
 terkejut disergah dengan pertanyaan. Matanya pantas  menyorot 
pada wajah yang bertanya dan sepantas itu juga dia mengangguk.
“errmm….kalau tidak salah,bas no 235 ada lalu kat sini kan?
pemuda itu bertanya. Satu senyuman resahnya merekah dibibir, 
benar-benar menggambarkan dia  tidak tahu.

Hanum terus mengangguk lagi buat kali kedua.
Hanya senyuman tanda mengiakan. Pemuda itu membalas anggukan 
Hanum serentak itu juga tangannya pula menggayakan isyarat terima kasih. 
Barulah Hanum tersedar, mungkin pemuda itu menyangkanya
 bisu sebab dia tidak bersuara kerana sekadar anggukkan kepala. 
Tercuit rasa kelucuan di hatinya. 

Tetapi Kelucuan itu seketika cuma 
bila bas 235 tiba dan pemuda itu sempat menganggukkan
 kepala kepadanya sekali lagi sebelum berlalu pergi dengan bas tersebut.
Sepuluh minit kemudian barulah bas yang dinanti nya pula muncul.
Hanum terus bangun dan perempuan muda  yang 
 menunggu bersamanya sejak tadi mendahuluinya. 
Tinggal lah hentian bas sepi sendiri saat hujan mulai berhenti.

Thursday, February 2, 2012

sambungan eNovel part 2


Begitu mudah dengan hanya menatap seekor semut yang sedang mengutip sisa makanan di lantai,dia seperti mentafsirkan sesuatu yang disampaikan oleh tuhan menerusinya.Anak matanya terdampar pada semut itu dan sisa makanan yang sebenarnya serpihan biskut cream cracker yang baru dimakannya tadi, bukan kecilnya semut menjadi perhatian tetapi pada kesungguhan sang semut itu mengocak semangat bagi dirinya menyedari setiap makhluk ada rezeki untuknya, yang penting adalah usaha.

Ruang dapur yang berselerak diperhatikannya, susunan pinggan mangkuk yang tidak sempat disusun , dua biji pinggan dan sebiji gelas tidak berbasuh di dalam sink dan sebakul sampah yang tidak berbuang membuat dia mengeluh kecil,”huh,mengalahkan seminggu  ditinggalkan…kotornya” tapi apakan daya salah diri sendiri malas hendak mengemas sebelum keluar pagi tadi. Mana hendak dimulai dahulu pun dia tidak pasti.

Alih-alih semut tadi juga menarik perhatiannya semula.”aikk, dah bertambah ramai pula semut ni..” dari sedikit serpihan biskut yang berterabur itu seperti satu kampong mendapat rezeki.

 “ada cream cracker adalah semut” hanum berkata seorang diri  mengakui peribahasa itu memang sesuai sekali dengan sketsa semut  yang dilihatnya. Tiba-tiba terdetik dihatinya untuk berbudi pada semut, 

“ermm..apa salahnya aku ambil sekeping biskut beri pada semut-semut ni..tentu semut-semut ni gembira” hatinya begitu senang untuk berbahagi makanan dengan semut.

Selonggok baju kotor yang  belum berbasuh terus dicapainya lalu dimuatkan ke dalam washing machine. Begitu pantas dia mengemas satu persatu dibersihkan kerana hanum percaya kepada pengurusan masa.Itulah juga yang dipelajarinya selama dia bergelar seorang palajar separuh masa.

“ummph….selesai pun” barulah hanum boleh tersenyum berpuas hati ,dan itu juga bererti hanum dapat meluangkan masa pula untuk mengadap laptopnya. Tugasan yang perlu diselesaikan dan beberapa karyanya yang terhenti perlu menari didada rasa.

“ Seakan pecah lalu rekah…berpatah selembar resah…melaut wajah dimamah rahsia…..menerka niat…melantun hasrat……..” bait-bait kata itu  mencetus ilham menerobos  menekuni naluri nya….hanum tersepit diantara telahan dan kehendak……tiba-tiba ideanya  terhenti  bila ketukan di pintu begitu kuat dari luar.
“ lambatnya buka pintu, hanum buat apa tadi” soal niesah terus sebaik sahaja Hanum membuka pintu biliknya.

Sekadar tersenyum Hanum membalas pertanyaan Niesah. Baginya pertanyaan Niesah tidak perlu untuk di sahut kerana hanum sedar niesah tidak berniat untuk memaksanya menjawab.

“niesah dah makan lom…” Tanya Hanum..lain yang ditanya lain pula jawapannya.Bagi niesah dia tidak kisah pun malah dia tahu sahabatnya amat mengambil berat tentang dirinya. Seperti dia juga.

“dah tadi…niesah  makan kat kedai…ada sebungkus mee goreng kat dapur.Nanti hanum makan tau…” Niesah berpesan sebelum dia melangkah keluar.

“ok, baik tuan puteri..” serentak itu juga satu senyuman terima kasih dilemparkan buat sahabatnya itu.
Begitulah rutin mereka, sebaik sahaja pulang dari kerja pasti salah seorang akan menjengah untuk bertanya khabar.Jika tidak ada perkara yang ingin dibincangkan sekadar senyuman pun sudah memadai. Masing-masing amat mengambil berat dan memahami.

Entah mengapa , Hanum amat menyenanginya …seingatnya pada waktu itu dia tersesat mencari aras berapa pun dia tidak pasti.Mujurlah bertemu dengan Niesah di dalam lif dan rupanya mereka sama-sama ingin mencari syarikat Sun shine sdn bhd.Bermula detik itulah  dari bertegur sapa akhirnya menjadi sahabat.
Ya, itulah Niesah yang bertubuh sederhana  memiliki  seraut wajah yang manis dengan  sifatnya yang peramah.Hanum pula berkulit cerah dan  kelihatan tegas dan  pendiam .

“ awak dari mana?” soalnya memulakan perbualan
“dari tempat kerja…terus datang ke sini..”jawab hanum sebaik sahaja pertama kali tangan mereka berjabat tanda  ikatan silaturrahim .

“awak memang tahu ke tempat yang kita hendak pergi ini?” Tanya Niesah kembali
“tidak. Awak tahu ker?” jawapan berbalas pertanyaan kembali. Niesah pantas  menggeleng dan  mereka ketawa serentak kerana rupanya  sama-sama tidak tahu.

Itulah detik perkenalan mereka……………………………….

eNovel part 1


Sebuah kisah yang belum berjudul….ingin kulakarkan di sini sebagai sebahagian dari untaian taste yang belum bernokhtah. Semoga ianya dapat kusudahi seiring dengan usia yang kian memanjat….

Senyuman  seindah pelangi
Mekar ia dikaki langit
Harum menyusup di dada samudera
Dingin membasah sukma hati
Terlena mengulit mimpi
Redup melingkari kasih

“…..huh!” puitisnya.. membuat aku terkesima. Aku yang berhati sempoi ni
selama ini tak pernah tertarik langsung dengan bait2  kata seperti ini.
Tapi kali  ,kata-kata  itu berulang  kali bermain di bibir dan di benak fikranku.
Kata-kata  itu bagaikan  tergiang-ngiang  diminda  sedarku.
Hanum menyiku niesah disebelahnya. ”eh, jawab lah pertanyaan aku tadi.kau dengar tak…? Dia mendengus kecil kerana sahabatnya tidak ambil peduli
dan dengan selamba juga Niesah menyikunya Hanum kembali
“kau  tanya apa tak dengar pun..”
Hanum sedikit terkejut, rasanya suara dia cukup kuat  bertanya sebentar tadi, masakan Niesah tidak mendengarnya.Tapi cepat-cepat  dipadamkan persoalan yang bermain dimindanya..
Kebelakangan ini,sering dia melihat sahabatnya seperti memikirkan sesuatu kekadang seperti mengelamun jauh, terhenti dalam menungan dek  diterjah nya dengan pertanyaan.Itulah pandangan Niesah terhadap Hanum.
Manakala Hanum pula berfikiran sebaliknya terhadap Niesah.Konflik hati dua sahabat yang amat menghomati antara satu sama lain.
Sebenarnya Hanum dan Niesah adalah dua sahabat yang dipertemukan melalui
Sebuah rangkaian direct selling yang menjual  product kecantikan.kedua-dua sahabat ini ingin menambah pendapatan sampingan bagi menampung kos study mereka.Berbekalkan bakat bukan sekadar rupa.Hanum dan Niesah memang memiliki  bakat bercerita dan dapat mempengaruhi sesiapa yang mendengar nya bila setiap kali dia menerangkan product yang diperkenalkan.
Kerana itu juga jualan mereka telah mencecah empat angka pada bulan terkini,namun dua sahabat itu belum boleh tersenyum puas sebab matlamat sebenar mereka ialah mengenggam segulung ijazah.kedua-dua nya mengambil jurusan yang sama bagi  memudahkan lagi mereka berbincang di sebelah malam  sebaik selesai habis waktu kerja atau pada hari cuti.
Hanum bekerja sebagai kerani disebuah kedai buku manakala Niesah menjadi cashier dikedai makan emak saudaranya.Walau sibuk bekerja semua itu tidak menghalang kedua-duan ya untuk  meneruskan cita-cit. Peluang semasa alam persekolahan tidak berpihak kepadanya. Namun peluang itu tetap ada bila dia boleh berdikari dan  berkerja.Bagi menampung kos hidup yang tinggi itulah maka Hanum dan Niesah terpaksa bekerja keras menambah pendapatannya,dan kedua-dua nya memang bertuah kerana dipertemukan dalam cita-cita  dan semangat ingin belajar yang sama. Tiga tahun masa berlalu dan seusia itulah persahabatan mereka.Semakin hari persahabatan itu semakin matang  seiring bertambah matangnya usia mereka.
“eh, niesah….naper ? macam ada problem jer..?”soal Hanum dan rasa nya dah berbuih mulutnya bertanya soalan yang sama.walau pun dia dapat mengagak jawapan  Niesah namun dia tetap ingin ambil peduli masalah sahabatnya itu.
“sebenarnya kan….”perlahan jer suara Niesah tapi sudah cukup menarik perhatian Hanum untuk duduk di sebelah sahabatnya itu..matanya tertunak tepat ke wajah Niesah. Dia akan sabar menunggu apa yang bakal diluahkan oleh sahabatnya nanti.
“errmm..tak per lah,nanti bila aku dapat…aku ceritalah  kat  engkau yer…”Niesah membalas kesabaran  Hanum dengan spontan seperti tidak berperasaan.
“huh, aku ingat kau nak cerita tadi..malas lah aku nak dengar  lain kali” Hanum pura-pura  merajuk. Niesah tersengeh melihat riaksi  Hanum. Sedikit tidak beriak bersalah diwajah nya. Kerana baginya dia memang maklum perangai Hanum yang tidak pernah menyimpan dalam hati kalau dia berkata sesuatu.Lantaran itulah  dia senang berkawan dengan Hanum.Sampai bila-bila pun gadis itu tetap akan menjadi sahabat baiknya.Dunia dan akhirat!
“aku janji..sedikit masa lagi pasti aku akan cerita…please, please, please….” Niesah bersuara berusaha memujuk  Hanum, dan akhirnya  Hanum tersenyum.
“yer..aku faham”jawabnya ringkas tapi cukup mengerti
Bagi  Niesah antara dia dan Hanum memang ada keserasian.Banyak perkara yang mereka akan kongsi bersama.Namun ada sesuatu yang Hanum tidak pernah beritahu Niesah, bukan dia merahsiakan tapi biarlah detik dan waktu yang menentukan. Niesah tidak tahu tentang itu.


akan bersambung nanti ..

Wednesday, February 1, 2012

Wangian dan Haruman


Wangian harum adalah disukai oleh Allah, para rasul dan para Mala’ikat NYA, apa lagi dua Malaikat Raqiib dan ‘Atiid yang sentiasa berada disamping seseorang kerana menulis amalan-amalan sama ada baik atau buruk. Sebaliknya bau busuk adalah disukai Iblis, syaitan dan kuncu-kuncunya ( termasuk jiwa yang kotor dan buruk).

Mungkin bagi seseorang merasakan tidak perlu kita membincangkan tentang wangian atau haruman, tapi bagi saya apabila setiap sesuatu yang kekasih kita( Allah) menyukai maka kita juga wajib menyukainya. Selain itu juga wangian yang harum mempunyai hubungan dengan syurga kerana pada keseluruhannya Syurga itu berbau wangi dan harum, demikian juga penghuninya.




Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyukai setiap yang berbau harum (sedap) dan suka kepada pakaian yang bagus( bersih terutama semasa menghubungi NYA)"
H.R Ad-Dailami

Wangian adalah santapan ruh yang perlu diberikan secara rutin setiap hari, sebagaimana keperluan kepada makanan. Setiap ruh yang baik ingin mencium dan menyedut wangian.Sesungguhnya dengan kekuatan ruh lah maka fizikal akan turut kuat dan bertenaga, seterusnya dia akan membawa kepada jalan kebahagiaan.

Dari Abu Hurairah r.a  menyebut Rasulullah SAW memberitakan bahawa Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :
“ Aku telah menyediakan untuk hamba-hambaku yang soleh akan nikmat yang belum terpandang dek mata, belum terdengar ke telinga ( belum tercium ke hidung)) dan belun terlintas di dalam hati seseorang”
H.R Al- Bukhari dan Muslim

Sebelum itu kalau dikaji makhluk di bumi pula mempunyai 3 ciri bau iaitu:

1.Manusia yang peluhnya berbau kasturi

Sewaktu Nabi SAW berusia 2 bulan, baginda di bawa ke Desa Bani Sa’ad untuk disusui oleh Halimah As- Sa’diyyah. Bila Nabi tiba, tercium lah dalam segala rumah di desa itu bau kasturi yang amat harum.
( Rujuk  As-Sirah An- Nabawiyyah)

Harum kasturi juga mendapat perhatian Al-Quran dimana di dalam Surah al- MMutaffifin.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“ Kamu dapat mengetahui dari air muka mereka (bukti,tanda) kesenangan hidup mereka penuh kenikmatan. Mereka di beri minum daripada minuman ( arak syurga yang tidak memabukkan) yang termetrai ( tertutup mati). Penutupnya adalah kasturi, dan  untuk itu maka hendaklah berlumba-lumba orang-orang yang berlumba”
Al-Mutaffifin 24: ayat 26

Dalam Hadis juga rasulullah bersabda bermaksud:
“ Saya dimasukkan ke syurga ( di malam Mi’raaj) tiba-tiba saya dapati anak-anak  batunya mutiara dan tanahnya Kasturi.”

H.R al-Bukhari dan Muslim
Dalam hadis yang lain pula sabda Rasulullah SAW bermaksud    
“Sebagus-bagus wangian ialah minyak kasturi”
H.R Muslim

Berdasarkan kajian yang di buat oleh ilmuan islam iaitu Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah r.a

mendapati kasturi banyak khasiatnya. Antaranya ialah memberi kekuatan kepada ruh, menenangkan jiwa bila mencium nya, menghilangkan ketakutan dan kebimbangan, mencergaskan akal, menyihatkan otak dan menghilangkan debaran jantung.



2. Ada manusia yang bersahaja tanpa sebarang  bau.

3. Ada pula manusia yang mempunyai bau tertentu , seperti bau peluh, sendawa dan mulut. Ini satu kejadian semulajadi baginya.



Manakala harum syurga adalah suatu yang ganjil dan relatif. 
Dapat di cium dalam jarak yang berbeza-beza ini tidaklah bertentangan antara satu sama lain sebab kedudukannya adalah sesuai dengan perolehan darjat seseorang, 
di mana seseorang hamba yang  paling ikhlas, dia telah dapat mencium bau syurga dari jarak yang paling jauh iaitu 1000 tahun perjalanan.

Tuesday, January 31, 2012

Saidatina Fatimah az-Zahra r.a.


Adalah puteri bongsu yang mulia Rasulullah S.A.W, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim.

"Fatimah adalah sebahagian dariku, siapa yang menyakitinya berarti menyakitiku, siapa yang membuatnya gembira maka ia telah membahagiakanku.” (Al Hadis).

Kata ‘Fatimah’ berasal dari suku kata ‘Fathama’ yang berarti menghentikan atau menjauhkan. Sebuah riwayat menyebutkan, dinamakan Fatimah karena Allah ingin menjauhkan puteri bongsu Rasulullah SAW  dari neraka. Dari cintanya Rasulullah kepada Fatimah, baginda selalu menyebut nyebut Fatimah sebagai contoh dan perumpamaan, misalnya………

“ Jika anakku Fatimah mencuri, aku akan potong tangannya”
hadis ini menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW tidak pilih kasih dalam menegakkan hukum agama, sehingga  baginda bersedia memotong tangan anaknya yang paling dicintainya, Fatimah, jika ia mencuri demi untuk menegakkan keadilan.

Fatimah az-Zahra dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadil Akhir iaitu tahun kelima sebelum Nabi s.a.w. menjadi Rasul. Ketika itu kaum Quraisy sedang memperbaiki dan membangun kembali Kaabah disebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.
Fatimah putri kesayangan Nabi s.a.w. mendapat gelaran Assidiqah (wanita terpercaya),
Athahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diberikahi Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Azzahra (bunga yang mekar semerbak).

Dia juga digelari Al-Batuul, iaitu yang memusatkan perhatiannya pada ibadah atau tiada bandingnya dalam hal keutamaan, ilmu, akhlaq, adab,hasab dan nasab. Di kalangan suku Quraisy, Fatimah dikenal fasih dan pintar.

 Fatimah sangat terkenal di dunia Islam, kerana ia hidup paling dekat dan paling lama bersama Rasulullah SAW. Dari dialah keturunan Rasulullah SAW (ahlul Bait) berkembang yang tersebar di hampir semua negeri Islam.

Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud, menyembah Allah s.w.t., dengan tangisan kesedihan Fatimah membersihkan tubuh Nabi s.a.w. dari kotoran yang taburkan oleh kaum Quraisy

Fatimah dinikahkan dengan Ali bin bi Thalib setahun setelah hijrah. Dia pernah dilamar oleh Sayyidina Abu Bakar dan Umar, sahabat terdekat Rasulullah SAW, namun ditolak secara halus oleh baginda.

 Fatimah sangat sederhana dalam berumah tangga dengan imam Ali ra, bahkan sering kekurangan. Beberapa kali ia harus menggadaikan barang-barang keperluan rumah tangga untuk membeli makanan, sampai-sampai jubahnya pernah digadaikan kepada seorang Yahudi Madinah. Namun demikian, mereka tetap bahagia sebagai suami isteri sampai akhir hayat.

Demikian besar peribadi Fatimah sehingga insan sehebat Imam Ali r.a merasa tenang dan damai di sisinya. 
"Demi Tuhan, hingga akhir hayatnya, tidak pernah aku merasa kecil hati dengan perilakunya atau memaksanya. Begitu juga tidak pernah dia merasa marah terhadapku atau tidak mentaatiku. 
Saat aku melihat Fatimah," kata Imam Ali, 
"hilanglah duka dari seluruh jiwaku."

 Fatimah adalah puteri kesayangan Rasulullah SAW. Puteri yang sangat dicintai Nabi SAW. Suatu waktu Rasulullah SAW pernah mengatakan kepada imam Ali ra…..

"Fatimah adalah sebahagian dariku, siapa yang menyakitinya bererti menyakitiku, siapa yang membuatnya gembira, maka ia telah membahagiakanku.”

Ini dikatakan oleh Rasulullah SAW  sehubungan dengan keinginan seorang tokoh Quraisy untuk menikahkan anak perempuannya kepada imam Ali ra. Imam Ali tidak menolak tetapi segera dicegah oleh Rasulullah saw.

 Hadis di atas juga merupakan bukti kuat akan kecintaan Rasulullah SAW kepada puteri bongsunya.
Fatimah meninggal enam bulan setelah wafatnya Rasulullah SAW  dalam usia 28 tahun. Merasa ajal sudah dekat, dia membersihkan dirinya, memakai pakaian yang terbaik, memakai  wangian dengan dibantu oleh iparnya, Asma bin Abi Thalib. Sebelum meninggal ia sempat berwasiat. Anda tahu apa wasiatnya?

“Hanya Ali, suamiku, yang boleh menyentuh tubuhku”.

Monday, January 30, 2012

Khadijah al-Khuwailid


Beliau juga dikenali sebagai Ummu al-Qasim binti Khuwailid bin Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qushai bin Kilab, lahir di Umm al-Qura ( Makkah) sekitar 15 tahun sebelum tahun  Gajah. Beliau berketurunan suku Quraisy daripada keluarga Bani Asad.Menurut al-Zubair bin Bakkar, sejak zaman jahiliyah, beliau dikalungkan dengan gelaran al-Tahirah (wanita suci) oleh masyarakat setempat. Ini disebabkan oleh sifatnya yang sukakan kebersihan dan kesucian. Ibunya bernama Fatimah binti Za’idah al-‘Amiriyah.

Sebelum dimahkotakan darjat sebagai Ummu al- Mukminin yang pertama, Khadijah telah beberapa kali menikah. Suami pertamanya ialah Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi. Setelah kematian suami beliau bernikah dengan ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzun. Namun perkahwinan itu tidak kekal. Ramai pembesar Quraisy yang melamar Khadijah namun ditolak kesemuanya selepas itu.
Akhirnya pemuda yang berjaya menambat hatinya ialah Muhammad bin Abdullah yang ketika itu baru berusia 25 tahun. Lebih muda 15 tahun daripada usianya. Hiduplah beliau di sisi Muhammad sebagai tauladan isteri paling solehah sepanjang zaman.

Khadijah merupakan isteri kesayangan Nabi Muhammad SAW . Beliau dimuliakan suami ketika hidup dan sesudah wafat. Pengorbanan beliau sentiasa dikenang  dan menjadi ingatan abadi. Pujian yang sentiasa meniti di bibir Nabi terhadap insan bernama Khadijah r.ha. sehingga mengundang kecemburuan Aisyah r.ha., biarpun pada saat itu Khadijah r,ha. Sudah pun wafat.

Aisyah berkata,
"Saya tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti kecemburuan ku kepada Khadijah kerana Rasulullah sering menyebut-nyebut nama nya….” (Muttafaq ‘alaih)
Aisyah melanjutkan cerita, 
“Jika Rasulullah SAW menyembelih kambing, maka baginda berkata,”Bahagikan kepada teman-teman Khadijah.” 
Saya pernah membuat Rasulullah marah apabila berkata,”Lagi-lagi Khadijah” baginda berkata, “ sesungguhnya saya amat mencintainya” ( Muttafaq ‘alaih)

Khadijah juga melahirkan keturunan bagi nabi. Permata hati mereka seramai 6 orang iaitu dua lelaki dan empat perempuan. Mereka ialah al-Qasim, Abdullah, Fatimah, Ummu Kulthum, Zainab dan Ruqaiyyah. Beliau juga tabah menerima takdir apabila semua puteranya dijemput menghadap Allah ketika masih kecil. Keberkatan nya terserlah  apabila dipilih oleh Allah S.W.T untuk melahirkan penghulu wanita di syurga iaitu Fatimah binti Muhammad.

Realitinya, Rasulullah SAW telah memilih Sayidatina Khadijah yang berumur 40 tahun pada ketika itu sebagai isteri sedangkan umur baginda sendiri adalah 25 tahun. Ini membuktikan jarak usia itu tidak menjadi penghalang terbentuknya kasih sayang yang erat berkekalan selama 25 tahun sehingga perkahwinan itu dipisahkan oleh kematian Khadijah.

Ertinya Rasulullah SAW hidup dengan seorang isteri ( bermonogami) selama 25 tahun. Cinta dan kasih sayangnya terhadap Khadijah tidak boleh dipertikaikan lagi apabila sorotan sejarah mencatatkan pelbagai peristiwa yang membuktikan hakikat itu. Sehingga selepas kematian Khadijah, Rasulullah SAW menduda seketika selama 3 tahun sebelum mengahwini Sawdah, seorang janda yang sudah lanjut usianya dan miskin pula.semua itu atas dasar Rasulullah ingin memberi perlindungan kepada Sawdah daripada ancaman serta kebengisan kaum kafir.Itu juga sebagai kerelaannya memeluk agama islam.

Antara keutamaan Khadijah

Antara keutamaan Khadijah yang tidak dimiliki oleh isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain-lain ialah:
1.     Sebagai isteri pertama Nabi SAW kekasih pertama di hati Nabi
2.    Rasulullah SAW tidak menikahi wanita lain selama dengan Khadijah r.h.a. masih hidup.Aisyah r.ha berkata “Selama hidup  bersama-sama khadijah, Nabi SAW tidak menikahi wanita lain sampai Khadijah meninggal dunia.”(Riwayat Muslim no.2436)
3.    Rasulullah SAW tidak  mengambil hamba wanita sehinggalah Khadijah r.ha meninggal dunia
4.    Isteri yang mampu memberikan keturunan kepada Rasulullah
5.    Rasulullah SAW tidak pernah berasa marah kepada isteri ketika hanya mempunyai seorang sahaja isteri iaitu Khadijah. Hanya setelah mempunyai ramai isteri, karenah para isteri kadang-kadang membuat baginda marah. Marah-marah sayang penuh hikmah.
6.    Insan pertama solat bersama-sama Nabi
7.    Wanita pertama antara isteri-isteri Nabi yang mendapat jaminan syurga.
8.    Orang pertama menerima salam daripada Allah
9.    Wanita pertama masuk dalam kategori Siddiq (yang benar)
10. Orang pertama yang kuburnya dipersiapkan oleh Nabi SAW

Sunday, January 29, 2012

About beauty of the woman…………..




Ada banyak pandangan tentang kecantikan seseorang. Bagi saya kecantikan itu relatif  dan sangat  subjektif .
Beauty is the eye of the beholder.
Citarasa manusia juga tidak sama dan berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan.Tetapi yang baik itu mutlak dan kekal sifatnya.
Orang budiman dan beriman menilai kecantikan melalui budi dan akhlak.
Pemuja hedonisme  dan materialistik  pula hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.
Apa yang penting ialah kecantikan dalaman…
because  not everyone is  perfect. 
always sweet smiles………….
hehe ..

Senyuman  seindah pelangi
Mekar ia dikaki langit
Harum menyusup di dada samudera
Dingin membasah sukma hati
Terlena mengulit mimpi
Redup melingkari kasih

Untaian taste by:taliti tulip

Hajarul Aswad



“Sesungguhnya aku tahu bahawa kamu adalah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan memberi manfaat, kalaulah bukan kerana aku pernah melihat Rasulullah SAW menciummu nescaya aku tidak akan menciummu” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Pertanyaan ini sebenarnya  sudah pernah dilontarkan oleh khalifah kedua Umar bin Khattab ra disaat dia mencium Hajar Aswad.
Jelaslah bahawa, ada beberapa ibadah yang tidak perlu kita mencari cari apa hikmahnya dari ibadah itu. Seperti apa hikmahnya solat? 
Apa hikmahnya sujud ? 
Apa ertinya ruku’ ? 
Apa hikmahnya tawaf ? 
Apa hikmahnya melempar batu Jumrah? 
Apa hikmahnya wukuf di Arafah? 
Apa hikmahnya menyembelih kambing di hari Raya Qurban? 
Apa hikmahnya itu dan apa hikmahnya ini. 
Ada beberapa ibadah yang kita tidak perlu tahu apa hikmahnya, kerana disitu ada rahsia Allah yang tidak boleh diketahui hambaNya. 
Maka apa yang diperintahkan Allah lakukanlah dengan baik dan apa yang dilarangnya jauhkanlah sejauh jauhnya.
Sepintas lalu kita akan merasa bahawa Hajar Aswad adalah batu yang tidak boleh memberi manfaat atau memberi mudharat kepada manusia. Tapi kenapa kita sebagai muslim memuliakannya bahkan sampai harus menciumya? 
Pertama memuliakan Hajar Aswad bukan adat orang orang Jahiliyah. Hajar Aswad berada ribuan tahun sebelum orang orang Jahiliyah duduk di Makkah.                      
Sebenarnya  Hajar Aswad berada di sudut Ka’bah seumur dengan umur Ka’bah itu sendiri. Disaat Nabi Ibrahim as membangun Ka’bah tinggal satu bahagian yang belum terpasang iaitu Hajar Aswad.
 Lalu nabi Ismail pergi mencari suatu. 
Nabi Ibrahim as berkata 
“Carilah sebuah batu seperti yang aku perintahkan”. 
Nabi Ismail mencarinya dan tidak mendapatkanya. Ia kemudian kembali ke Ka’bah, dan ia melihat di tempat tersebut telah terpasang Hajar Aswad
Maka ia berkata “Ayahku, siapa yang membawa batu ini kepadamu?’ 
Ibrahim berkata

 “ Yang membawanya kepadaku adalah Jibril dari langit (syurga)." (Tafsir Thabari hal 143).

Sesungguhnya Hajar Aswad dan Maqam adalah dua buah batu diantara batu batu Yaqut (batu mulia) diambil dari syurga, andaikan Allah tidak menghilangkan cahayanya nescaya sinarnya akan menerangi antara timur dan barat. (H.R. Ahmad )

Kita adalah umat Muhammad SAW yang mengikuti segala perintahnya tanpa meragui   apa yang dilakukan Nabi SAW maka lakukanlah dan apa yang dilarang Nabi SAW jauhkanlah. 
Mencium atau mengusap Hajar Aswad saat tawaf adalah anjuran Nabi  Muhammad SAW kerana beliau selalu menyentuhnya dengan tangannya yang lembut atau menciumnya dengan bibirnya yang mulia.

Demi Allah, Hajar Aswad akan dibangkitkan pada hari kiamat, Allah memberikannya mata dan lidah kepadanya agar dapat melihat dan berbicara dan memberikan persaksian terhadap orang yang menyentuhnya dengan benar dan ikhlas (Tarmizi)
Itulah kemuliaan dan keluhuran Hajar Aswad di sisi Allah dan Nabi Nya. Maka tidak hairan jika Abdullah anaknya Umar bin Khattab ra selalu menyentuh Hajar Aswad kemudian mencium tanganya dan berkata :
“ Aku tak pernah meninggalkan perbuatan ini semenjak aku melihat Rasulullah SAW menciumnya."
 (HR Muslim) 

Saturday, January 28, 2012

senyuman ...


Pujangga  menyebut :
" SENYUM ITU KELOPAK. KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA".


Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.
Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.
Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.
Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.
Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.
Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.
Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

seuntai rasa, sejernih bicara

Assalamualaikum wbt,

blog "The Last Heaven" ini adalah blog peribadi yang membawa secebis rasa, berkongsi keindahan, keharmonian dan ketenangan yang sekelumit cuma. Segala paparan adalah segaris idea, ilham, coretan peribadi dan koleksi informasi dari pelbagai sumber.

Maafkan "The Last Heaven" sekiranya ianya tidak memberi bahagia seperti syurga yang diimpikan ..

Indahnya untaian taste by :

taliti tulip