setenang tatapan mata ...

mengocak air, menguak rumput, mencantas dedaunan, meredah liku, memandang lurus ke hadapan, menggenggam hasrat matlamat yang satu ...

Ikhlas

" ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsiaku.Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang amat mengasihiNya."

(riwayat Abu Hassan Al-Basri)

Sunday, August 12, 2012

Perkongsian untuk apa yang dikatakan ciri-ciri isteri solehah





Di sini ingin kutitipkan bingkisan yang amat bermakna sebagai perkongsian,renungan, dan amalan.Ianya adalah antara koleksi peribadi yang telah tersimpan sekian lama, walau tidaklah selengkap mana tetapi ianya menjadi pilihanku kerana bukunya yang kecil,nipis (mudah dihabiskan bila dibaca),ilmu yang tertulis di dalamnya menepati untuk diri sendiri serta mudah di bawa kemana-mana.Buku ini juga telah kubeli pada 6hb Disember 1992 bererti telah 20 tahun dalam simpananku.

Buku ini bertajuk, WANITA ISLAM beberapa nasihat dan peringatan karya Hamizan Hussin terbitan Dewan Pustaka Fajar cetakan 1988 setebal 66 mukasurat.



Apakah yang dikatakan wanita solehah?

Wanita yang solehah ialah wanita yang berpendidikan baik dan berakhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wa Ta’ala.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Dunia ini adalah kesenangan dan sebaik-baik kesenangan ialah wanita yang solehah”
(Riwayat Muslim dan Al-Nasae’I )


Sebagaimana diketahui, peranan wanita yang asasi ialah sememangnya sesuai dengan sifat dan tabiatnya sebagai isteri dan mendidik 

CIRI-CIRI ISTERI SOLEHAH


1.Hendaklah sentiasa jujur dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap suaminya dalam sebarang hal yang diizinkan oleh syara’
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Seandainya diperbolehkan bagi manusia untuk sujud kepada manusia lain, nescaya aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya.”
(Riwayat al- Hakim)


2. Seorang isteri hendaklah berkelakuan sopan terhadap suaminya.Wajib baginya menjauhkan kata-kata yang menunjukkan kederhakaan atau menyakitkan hati suami seperti memaki, berkata tanpa izin atau melafazkan kata-kata yang dilarang oleh syara’.Begitu juga hendaklah isteri itu sentiasa berasa malu dan merendahkan pandangan matanya apabila berada dihadapan suaminya.Hendaklah sentiasa memperlihatkan wajah yang manis dengan demikian akan dapat menyenangkan hati suaminya.


3. Janganlah seorang isteri itu memberatkan atau memaksa suami memberi nafkah seperti makanan,pakaian,wang ringgit dan tempat tinggal lebih dari kadar yang diperlukan.Bahkan hendaklah sentiasa qanaah (berpada-pada) dengan apa jua pemberian suaminya.


4. Bertanggung jawab memelihara harta benda suaminya dan berusaha menjadikan rumah tangganya bersih, kemas dan rapi yang mana di dalamnya turun rahmat Allah s.w.t


5. Hendaklah keluar rumah atau keperluan lain dengan izin suami.Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tiap-tiap wanita yang keluar rumah tanpa izin suaminya,sesungguhnya dia dalam kemurkaan Allah sehinggalah ia kembali ke rumahnya atau suaminya redha akan dia.”
(Riwayat Al-Khatib)


6. Apabila terlanjur seorang isteri hendaklah segera meminta maaf kepada suaminya.Tidak ada manusia yang sunyi dari melakukan kesilapan.Begitulah juga dengan isteri yang bersifat lemah dan memerlukan bimbingan suami.
Kita boleh lihat contoh isteri solehah dari kisah sayyidatina Fatimah terhadap suaminya dan begitu juga dengan ibunya sayyidatina Khadijah dalam melayani suaminya Rasulullah s.a.w.
 Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada puterinya yang bermaksud:
“Untuk mencapai kesenangan akhirat,Fatimah seharusnya menelan kepahitan hidup di dunia ini.”


7. Seorang isteri itu bukan sahaja tugasnya sebagai isteri kepada suaminya, ia juga memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak.Ia mengandung, melahirkan, mengasuh,memelihara serta mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang agar menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat.Gagal atau Berjaya seorang anak itu dalam menjalani kehidupan adalah bergantung kepada asuhan dan didikan ibu bapanya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Tidak ada seorang yang lahir melainkan menurut fitrahnya, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan Yahudi,Nasrani atau Majusi.”
(riwayat Bukhari dan Muslim)


Demikian lah sebahagian dari ilmu yang terdapat di dalam buku ini secara ringkasnya.Kesimpulannya seorang wanita apabila dia telah bersedia sebagai isteri bererti dia mempersilakan seorang lelaki duduk disampingnya untuk sepanjang hayat.Sekaligus dia mempersilakan semua masalah baik atau buruk bersandar di bahunya dan dalam masa yang sama ingatlah bahawa pasangan kita adalah dahan pahala jika kita sabar mendampinginya.


Sebagai wanita juga janganlah kita merasakan ketaatan kita kepada suami itu tidak adil kerana kemuliaan Allah terhadap wanita dapat kita lihat dalam dua situasi iaitu pertama wanita itu dikehendaki taat kepada suaminya lebih daripada kepada ibu bapanya.dan dalam masa yang sama dalam situasi kedua sebagai imbalan Allah memerintahkan anak lelakinya pula berbuat ihsan kepadanya 3  kali ganda daripada ia berbuat ihsan kepada bapanya iaitu suami kepada wanita tersebut.


Ini berdasarkan kepada satu kisah seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w maksudnya:
“Siapakah yang wajib kita hormati dan kasihi selepas Allah s.w.t dan Nabi?jawab nabi Ibu kamu, Selepas itu? Ibu kamu,Selepas itu? Ibu kamu dan kali keempat lelaki itu bertanya Selepas itu? Jawab nabi, bapa kamu.”
Dan Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
“Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu.”
(riwayat imam Ahmad)

SAJAK:



  
SEORANG PEREMPUAN

Sebuah kurniaan
Kemuliaannya dipersada rasa
Dicipta di atas kudratNYA
Demikiannya pemberianMU
Menepati fitrah sebuah anugerah
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Lalu digubah dengan seindah kejadian


Diantara lebur jiwa nan rapuhnya
Luhur kejernihan mata hati
Ada Senyuman melingkari hari
Ketulusan dalam ketaatan
Penuh kesantunan bicara
Sebenarnya……………………
Itulah rahsia maha agung
Dimana ia terletaknya syurga
Di telapak kaki seorang ibu


Begitulah seorang perempuan
Menjadi perhiasan dunia yang terindah
Meskipun hakikat kejadiannya
Sekadar si tulang bengkok
Perasaan mengatasi panjangnya akal

Untaian taste by: taliti tulip


ia....memang benar perempuan itu dicipta dari tulang rusuk yang bengkok tetapi bengkoknya itu bukan bermakna suatu kekurangan tapi sebenarnya ia adalah penyempurnaan.Tulang rusuk yang bengkok itu tadi sifatnya adalah pelindung. Melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung dan paru.



Demikianlah sebagai perkongsian kita bersama..segala kelemahan dan kekurangan adalah dari diri saya sendiri dan kelebihan dan kebaikan itu dari Allah jua.
Allahu  a'lam


Keistimewaan Betik




Buah Betik

Betik atau Papaya memang amat dikenali sebagai pencuci mulut.Betik atau nama saintifiknya Carica Papaya dikatakan berasal dari Mexico Selatan, namun kini ia terdapat di kebanyakan Negara Asean dan ditanam hampir keseluruh Negara yang beriklim tropika



Pokok Betik

Betik sebenarnya sangat istimewa dan mempunyai banyak khasiat.Harganya tidak mahal dan sangat bermanfaat untuk kesihatan serta bagus untuk pencernaan serta mengandungi banyak vitamin serta mengandungi unsur-unsur antibiotic yang dapat digunakan untuk pengubatan tanpa kesan sampingan.



Koktel Betik


Betik kaya dengan vitamin dan zat galian yang baik untuk kesihatan seperti protein lemak.kabohidrat,serat,kalsium,vitamin A, vitamin C,vitamin  B kompleks, vitamin E, zat besi dan lain-lain.Betik eksotika misalnya dikatakan mengandungi vitamin A yang 10 kali ganda berbanding limau mandarin.



Salad betik

Nutrien penting dalam betik menjadikan tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan yang tersendiri.Buahnya mengandungi kalium dan magnesium yang tinggi dan bermanfaat sebagai ubat  usus luka, bahan pelawas serta penyejukan suhu badan yang panas ketika demam



Sayur bening betik


Manakala daunnya pula selain digunakan sebagai ulam dan sayuran, ia juga dikatakan boleh dijadikan ubat penyakit malaria,sakit perut dan kurang nafsu makan. Bunga betik pula dijadikan manisan dan daunnya yang muda (pucuk) dijadikan ulaman .Selain dikatakan berupaya menyerap racun dan bahan toksik serta mempercepatkan penyembuhan luka.Ia dikatakan berupaya untuk melembutkan daging, mengubat penyakit asma dan sakit jantung tetapi tidak boleh digunakan secara berlebihan kerana ia boleh menghasilkan toksik.



Pucuk betik yang direbus

Betik mengandungi ekstrak  papain iaitu enzim proteolotik yang terdapat dalam getahnya(betik muda). Papain memberi manfaat dalam industri minuman, makanan dan ubat-ubatan,pengempuk daging, dijadikan ramuan ubat penyembuh pencernaan dan banyak lagi.

Wednesday, August 8, 2012

SELASIH,BASIL DAN KEMANGI TIGA NAMA YANG PENUH MAKNA



Pokok Selasih,Basil dan Kemangi


Di negara Malaysia ia dikenali dengan nama Selasih.Di Indonesia ia disebut daun Kemangi dan di Barat ia dinamakan Basil.Apa pun Selasih, Kemangi dan Basil berasal dari rumpun yang sama, iaitu Lamiaceace.

Nama saintifik Selasih ialah Ocimum sancium,bagi kemangi pula ialah Ocimum sanctum linn manakala bagi Basil di beri nama Ocimum amboinicus.
Selasih,Kemangi dan Basil kaya dengan khasiat provitamin A.Setiap 100gm daunnya terkandung 5.000 SI vitamin A.Selain itu. Ia juga mengandungi kalsium dan fosfor.

Di barat, basil digunakan dalam sos spaghetti dan sos pizza.Di Negara kita, kebanyakan orang gemar mengambil selasih sebagai ulam, manakala bagi sebahagian masyarakat bugis menjadikannya sebagai sabagai bahan dalam masakan sayur bening yang dicampur dengan bayam,terung dan kacang panjang.Manakala di Indonesia penggunaan kemangi juga amat meluas dalam masakan, antaranya dalam nasi ulam, pais ikan, laksa bogor dan karedok(gado-gado sunda)

Di India dan sebahagian wilayah Afrika, selasih atau kemangi ini dijadikan teh kerana aromanya yang wangi.Ia dikatakan baik diminum bagi mereka yang diserang batuk, selsema atau demam.

Di Eropah,selain dijadikan campuran di dalam masakan,basil juga disuling dan diambil minyaknya.Ia digunakan sebagai campuran bahan ubat-ubatan atau pun untuk dijadikan sabun mandi,minyak wangi,losyen badan,gula-gula herba dan juga minyak terapi.

Kemangi,basil dan selasih kaya dengan khasiat pro vitamin A.Setiap 100 gm daunnya terkandung 5.000 SI vitamin A.Selain itu ia juga mengandungi kalsium dan fosfor.

Basil dikatakan berasal dari India dan Peranchis dan kemudian ia ditanam dimerata tempat di dunia.Pada zaman Greek,basil dikatakan menjadi tumbuhan herba diraja dan hanya golongan raja sahaja yang boleh memetik daunnya.Manakala di Romania, Basil mempunyai makna tersendiri dalam dunia percintaaan.Lelaki Romanis yanag menerimaa setangkai basil daripada seorang wanita,bermakna secara rasmi mereka telah ditunangkan.

Selain berfungsi sebagai bahan masakan,basil,kemangi dan selasih juga mempunyai khasiat tersendiri dalam dunia perubatan.Secara turun temurun,pokok beraroma ini bermanfaat untuk mengatasi kembung perut ataupun perut yang masuk angin untuk kanak-kanak.Jika anak anda menderita kembung perut atau demam,ramaskan daun selasih,dan campurkan sedikit minyak kelapa dan bawang merah yang ditumbuk dibahagian dada dan perut.

Daun selasih,kemangi dan juga basil sama seperti daun pudina.Menghasilkan bau yang wangi.Bau wangi pada daun itu boleh menghilangkan masalah bau badan dan mulut.Maka tidak hairanlah jika pokok ini diambil minyak sarinya untuk  dijadikan minyak wangi.Ada pendapat mengatakan minyak sari yang diambil daripada daun kemangi,basil dan selasih hanya akan hilang baunya  setelah 3 hari disapukan pada badan.Selain dijadikan minyak wangi,minyak pokok ini dijadikan minyak urut terapi kerana ia dapat memberikan kesegaran kepada tubuh. Bagaimana pun wanita hamil dilarang menggunakaannya kerana dikhuatiri akan mengalami keguguran.


Selain itu, minyak kemangi,juga berkhasiat mengatasi gangguan seperti muntah-muntah dan radang perut.Bagi kaum lelaki,Kemangi,basil dan selasih juga memberi manfaat yang tinggi.Zat arginine yang terkandung dalam kemangi boleh memperkuatkan daya hidup sperma .Bagi kaum wanita pula zat daun ini dapat meransangkan hormon estrogen.Zat stigmaasterol dalam kemangi pula dapat meransangkan permantangan sel telur, manakala zat triptofan boleh melambatkan monopaus.


Selasih,basil dan kemangi ternyata bukanlah sebarang sayuran,dan nikmatilah khasiatnya  


untaian taste by : taliti tulip

Sunday, July 29, 2012

Apabila SeMuA JaLAn TerasA BuNTuuu……………..

Apabila semua jalan terasa buntu oleh anda, maka fikirkanlah janji yang ada dalam surah al Insyirah




Surah al Insyirah ayat 5-8 yang bermaksud :

“Maka sesungguhnya beserta kesukaran ada kemudahan, sesungguhnya beserta kesukaran ada kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai dari satu urusan, maka kerjakan lah urusan yang lain dengan bersungguh-sungguh dan hanya pada Allah hendaklah engkau mengharap.”

             Allah S.W.T menekankan dua ayat yang sama dalam surah ini iaitu:
          “Dengan kesukaran ada kemudahan “


Begitu juga  ayat 2-3 dari surah al Ankabut, marilah kita sama-sama renungkan
Yang bermaksud:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan “kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang –orang yang dusta.”


Maka percayalah setiap orang yang berakal hendaklah dia bersabar atas bencana yang menimpanya.Junaid al-Baghdadi ra telah berkata: “Bala bencana merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang lengah(lupa).Tidak ada seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan sabar.


Rasulullah S.A.W juga bersabda:
“Barangsiapa sakit semalam, dia sabar dan rela kepada Allah, maka bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya.Jika engkau sakit, janganlah segera minta sembuh.”


Telah berkata Adl Dhalak ra: Baragsiapa tidak diuji antara empat puluh hari  dengan suatu bala, kedukaan atau musibah maka tidak ada kebaikan baginya di sisi  Allah.


Maka marilah kita sama-sama merenungi diri, sejauh mana penghayatan,pengabdian dan cinta kita pada Allah.dan ayat yang terakhir ialah dari surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud :

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”




Saturday, July 21, 2012

FADHILAT SOLAT TERAWIH


Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang  fadilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan :

Malam 1 –
 Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam 2 –
 Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

Malam 3 –
 Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam 4 –
 Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam 5 -
 Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah(Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.

Malam 6 –
 Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Mamur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih poda malam ini.

Malam 7 –
 Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi Alaihissalam menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamman.

Malam 8 -
Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam.

Malam 9 – 
 Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

Malam 10 –
 Allah Subhanahuwataala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

Malam 11 –
 Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

Malam 12 –
 Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam 13 –
 Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14 –
 datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

Malam 15 –
 Semua Malaikat yang menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16 –
 Allah subhanahuwataala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17 –
 Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18 –
 Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19
Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20 –
 Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21 –
 Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.

Malam 22 –
Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huruhara di Padang Masyar).

Malam 23 –
Allah Subhanahuwataala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.

Malam 24 –
 Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25 –
                              Allah Taala angkatkan daripada siksa kubur.

Malam 26 –
 Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam 27 –
Allah kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28 –
Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.

Malam 29 –
Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam 30 –
Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:

“Hai hambaKu : makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau dariapda air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Al-Kauthar.”


Semoga amalan kita dalam bulan ini diterima-Nya..Amin


Friday, July 20, 2012

keajaiban jemari




Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang temulang? Bahkan sebenarnya kami berkuasa untuk menyusun ( kembali) jari jemari dengan sempurna.” (surah al-Qiyamah 75: 3- 4)

Inilah gambaran yang sempurna tentang kehidupan sesudah mati. Allah akan menyusun kembali tulang belulang manusia yang berserakan. Bahkan setiap ruas jari-jemari akan kembali utuh sebagaimana semula.. Selepas itu  setiap orang di mana  jari jemarinya akan  dituntut bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuat nya.





Selain itu apabila kita mengkaji struktur anatomi tangan, kita akan dapati ia sebenarnya satu struktur yang sangat kompleks, berliku-liku dan juga sangat menarik. Meskipun tangan merupakan sebahagian struktur tubuh yang agak kecil, namun ia sebenarnya dibentuk oleh 27 tulangdaripada pergelangan tangan sehingga hujung jari. Ia dikategorikan sebagai tulang karpal yang membentuk pergelangan tangan, metacarpal yang membentuk tangan dan tulang falanks yang membentuk jari jemari.


Setiap jari mempunyai tiga tulang falanks melainkan ibu jari yang mempunyai dua tulang falanks sahaja. Ia dibahagikan kepada tiga barisan iaitu barisan pertama (proximal phalanx), barisan pertengahan (middle phalanx) dan barisan hujung (distal phalanx). Setiap satu barisan disambung oleh sendi-sendi kecil yang begitu kompleks dan unik.

Setiap sendi disokong oleh ligament ligament yang memastikan kestabilannya dalam melakukan kerja. Menariknya tidak ada struktur lain dalam badan kita yang mana tulang-tulang kecil disambung dan dibenarkan bergerak bebas ke hadapan dan ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Ia hanya terdapat pada jari jemari sahaja.

Itulah besarnya nikmat anugerah Allah iaitu tangan kita.Di mana setiap tangan lazimnya mempunyai lima jari dan setiap satu memiliki fungsi yang tidak terkira banyaknya.Di antaranya jari ini boleh mengambil, meletakkan sesuatu barang, mengenggam, memukul, membuat kerja, menulis, menggunakan computer dan sebagainya.

Itulah keajaiban ciptaan Allah dan ketahuilah jari jemari yang Allah s.w.t kurniakan ini sebenarnya boleh mempengaruhi juga destinasi kita di akhirat sama ada ke syurga atau neraka,

” Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan  mereka dan memberi kesaksian kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.”  (QS. 36. Yaasin: 65)




Marilah kita perhatikan pada hujung setiap jari kita, terdapat alur-alur kecil yang membentuk corak tertentu yang dinamakan sebagai cap jari.Ianya terbentuk sejak lahir dan tidak akan berubah sampai bila-bila pun melainkan terdapat kecederaan yang menyebabkan parut pada jari.Bahkan menurut kajian, di dapati cap jari mulai terbentuk seawal usia tiga bulan di dalam kandungan. Apabila al-Quran diturunkan 1400 tahun yang lalu, pengetahuan mengenai cap jari masih belum dapat dinilai oleh masyarakat pada waktu itu.Sehinggalah pada tahun 1856,seorang saintis Inggeris bernama Genn Ginsen menemui corak-corak pada hujung jari seseorang begitu unik dan berbeza antara satu individu dengan individu yang lain.


Firman Allah dalam Surat Yasin ayat 65  mengajarkan pula kepada kita, selain digunakan untuk pelbagai urusan, jari-jemari di tangan kita juga berfungsi untuk bertasbih kepada ALLAH SWT.








Alangkah hebatnya ciptaan dan kurniaan Allah s.w.t kepada kita dan marilah kita sama-sama mensyukurinya.



Wallahu a’lam


Rujukan dari: Solusi bil 30 Dr.Farhad Hadi Mohd Taib








Monday, July 16, 2012

daun pandan



Daun Pandan 

Daun nya hijau dan panjang meruncing dihujung serta  berlapis-lapis dan bersilang serta tumbuh merimbun di atas tanah. Warnanya pula hijau tua di pangkal dan hijau muda di hujungnya.Namun boleh juga ditanam di dalam pasu yang bersesuaian dengan saiz rimbunannya.Terdapat banyak kegunaan daun pandan ini, antaranya boleh digunakan di dalam masakan untuk memberi aroma sebagai pembangkit selera.Selain itu ia juga boleh digunakan dalam minuman, ataupun dijadikan pewarna terutamanya dalam kuih muih atau pun kek.


Daun Pandan adalah tergolong dalam keluarga Pandanceae terdapat di Asia Tenggara, termasuklah di Negara Malaysia.Ciri-ciri bau pandan dihasilkan oleh sebatian bau 2-acetyl-1-pyrroline .Terdapat  pelbagai spesies pandan, antaranya Pandanus Amaryllifolius Roxb, Panda Furcatus Roxb dan Panda Tectarius SOL.Paling popular ialah Pandanus Amaryllifolius Roxb ataupun di panggil pandan wangi.



Pokok Pandan merupakan sejenis tumbuhan tropika dalam keluarga genus . Tumbuhan dari keluarga pandanaceae ini adalah sekeluarga dengan pokok mengkuang. Terdapat 600 jenis spesies dalam keluarga genus pandanus yang dikenali di serata dunia.
Pandanus dan digunakan dengan meluas dalam masakan di Asia Tenggara. Pokok ini adalah mandul dan jarang berbunga, dan ia membiak melalui keratan.





Panggilan daun pandan berbeza mengikut Negara

Malaysia

Daun pandan wangi
Indonesia

Daun pandan
England

Screw pine
Peranchis

Pandanus
China

Ban yan le
Itali

Pandano
Thailand

Bai Toey 
Vietnam

lá dứa
Bangladesh

Ketaki

Sri Lanka
Rampe


Di Malaysia, pokok pandan dibezakan antara pandan biasa dan pandan wangi. Pokok Pandan Wangi adalah lebih kecil daunnya, tetapi berbau lebih wangi.

Di Malaysia, Thailand dan Indonesia daun pandan banyak digunakan di dalam masakan yang menggunakan beras sebagai bahan asas iaitu ramuan nasi lemak atau nasi biasa. Ini kerana beras dapat menyerap bauan daun pandan yang wangi sekaligus memberi aroma yang harum.

Di Thailand pula, daun pandan digunakan sebagai pembalut makanan yang mereka masak. Contohnya Gai Ob Bai Toey atau ayam balut, iaitu sejenis resepi klasik masyarakat di sana.Sementara di Bali pula, mereka mengukus nasi di dalam bakul yang dibuat dari daun pandan bagi mendapatkan baunya yang wangi.




Sesungguhnya bau daun pandan ini sukar digambarkan yang pasti ianya memang menyegarkan.Bau yang seakan dengan daun pandan pula kita boleh temui di dalam sesetengah beras wangi contohnya beras wangi Thai Jasmin yang banyak ditanam di Asia Tenggara.Samada mahu percaya atau tidak sebenarnya bau daun pandan ini lebih kuat atau sedap dihidu apabila daun ini telah kering atau layu serta telah dicampurkan di dalam masakan.Ini kerana daun pandan segar tidaklah kuat sangat baunya.justeru itu kita jugalah daun pandan digunakan sebagai salah satu bahan di dalam pot pouri dan bunga rampai bagi majlis perkahwinan.



Dikatakan antara khasiat daun pandan ialah ia dapat memberi kesan penyejukan, rawatan terhadap inflasi demam, mengatasi batuk, mengurangkan demam campak dan gusi berdarah.Terdapat juga petua menarik untuk dihubungkan dengan kehidupan seharian kita antaranya bagi menghindarkan lipas di kawasan dapur, masalah bau peti ais,bau yang terperap di dalam kereta serta bagi menghilangkan kelemumur di kepala.

Monday, July 9, 2012

Buah delima..


BUAH DELIMA


Buah delima atau nama saintifiknya punica granatum merupakan tanaman asia, spesies dari pulau Socarta.Meskipun berasal dari Iran, buah delima lebih banyak berkembang di daerah Timur Tengah, Arab Saudi, Afghanistan, India dan Asia Tenggara.

Ditanam sebagai tanaman hias atau tanaman ubat. Tingginya boleh mencapai 5 meter, berbatang bulat dan kecil, daunnya bulat telur dengan permukaan yang berkilat.

Buah berwarna merah, ungu, putih dan hijau kekuningan. Bunga berwarna merah akan menghasilkan buah delima warna merah dan bunga putih menghasilkan buah yang berwarna putih dan hijau kekuningan.





Tumbuh baik di daerah yang musin kemaraunya panjang dan bersuhu panas.Hidup subur pada ketinggian 400 hingga 1,500 meter dari permukaan laut.

Seluruh pokok delima mempunyai manfaatnya, bermula dari kulit, batang, akar, daun hinggalah buahnya.Pada kulit akar dan kulit batangnya terdapat alkaloid peliterin yang baik untuk ubat cacing dan keracunan makanan.

Jus buah delima tinggi dengan khasiat.Terdapat kandungan ion kalium, vitamin c dan polipenol.Setiap ulas bijinya kaya dengan kalium per 100gram (259mg/ gr), tenaga 63 kal, 30 mg Vitamin C.Komponen ini baik untuk jantung.

Selain itu ia memberi perlindungan kepada barah kulit.Berdasarkan laporan yang dimuatkan di American jurnal of clinical Nutrition, seorang yang minum 200 cc jus delima setiap hari selama seminggu berturut-turut akan dapat meningkatkan aktiviti antioksida sebanyak Sembilan peratus.

Di Iran jus delima dibuat berkumur-kumur terlebih dahulu sebelum diminum.Ia dapat membersihkan mulut dan gigi.Selain itu ia dapat mencegah infeksi hingga dapat membantu menghilangkan bau mulut.Memakan dengan perlahan- lahan buahnya dan mengeluarkan bijinya dapat menjernihkan suara yang serak dan menghindarkan kekeringan kerongkong.

Kandungan zat tannin dalam buah delima dapat membiuskan cacing gelang, cacing kremi dan cacing pita dalam usus sehingga dapat dikeluarkan melalui air besar.Cara ini sudah lama dipraktikkan oleh penduduk Mesir dan Vietnam.








seuntai rasa, sejernih bicara

Assalamualaikum wbt,

blog "The Last Heaven" ini adalah blog peribadi yang membawa secebis rasa, berkongsi keindahan, keharmonian dan ketenangan yang sekelumit cuma. Segala paparan adalah segaris idea, ilham, coretan peribadi dan koleksi informasi dari pelbagai sumber.

Maafkan "The Last Heaven" sekiranya ianya tidak memberi bahagia seperti syurga yang diimpikan ..

Indahnya untaian taste by :

taliti tulip